Pemalsuan Fakta Peristiwa Unta: Usaha Jahat Untuk Merendahkan Generasi Sahabat r.a.

Latar Belakang Peristiwa

Saidina Osman r.a. menjadi Khalifah selama 12 tahun di mana pada enam tahun kedua pemerintahannya, umat Islam secara keseluruhan ditimpa dengan satu ujian yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sesetengah pihak menggambarkan krisis tersebut sebagai bukti kelemahan pentadbiran Saidina Osman r.a. Gambaran yang seumpama ini berpunca dari kajian yang tidak mendalam terhadap sejarah Khulafa’ al-Rasyidin atau niat yang buruk terhadap para sahabat r.a. Mereka lupa bahawa Saidina Osman r.a. adalah wakil umat Islam di dalam peristiwa perjanjian Hudhaibiah; tugas yang tidak sanggup dipikul oleh Saidina Omar r.a. Beliau juga adalah sahabat yang membiayai pembinaan perigi al-Raumah untuk kegunaan umat Islam. Beliau juga adalah sebahagian sahabat yang membiayai kelengkapan perang bagi orang-orang yang tidak mampu. Di zaman pemerintahannya, beliau berjaya mengumpulkan al-Quran dengan pelbagai qiraat kepada satu mushaf (mushaf Osmani). Beliau juga yang mula-mula menubuhkan tentera laut bagi umat Islam dan berjaya menyeberangi laut Mediterenian membuka pulau Cyprus. Di zamannya umat Islam berada dalam keadaan yang cukup baik dari sudut pencapaian material.

Tetapi satu perkara yang tidak ada di zaman sebelumnya, wujud di zaman Saidina Osman .r.a., iaitu gerakan Saba’iyah yang diketuai oleh Abdullah bin Saba’. Abdullah bin Saba’ adalah seorang Yahudi yang mempunyai kecerdikan luar biasa. Gerakannya berkembang di zaman pemerintahan Saidina Osman r.a. Gerakan ini berjaya mempengaruhi sebahagian umat Islam pada masa itu terutamanya yang duduk jauh dari pusat pemerintahan Islam, Madinah. Lahirlah sekumpulan pemberontak dari Mesir yang diketuai oleh Ghafiqi al-Harb dan bergabung dengan pemberontak dari Kufah dan Basrah. Mesir, Kufah dan Basrah tidak dapat dikawal oleh Gabenor masing-masing pada ketika itu. Mereka membentuk satu kumpulan pemberontak berjumlah hampir 10,000 orang dan berjaya mengepung rumah Saidina Osman r.a. selama 40 hari. Kepungan itu berakhir dengan pembunuhan Saidina Osman r.a.

Di saat umat Islam masih lagi dalam keadaan bingung, ketua pemberontak, Ghafiqi al-Harb mengambil kesempatan menjadi imam di masjid Nabawi selama lima hari berturut-turut. Satu usaha untuk menempatkan dirinya dan kumpulannya. Sebahagian dari umat Islam mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri. Sebahagian yang lain dipimpin oleh baki 10 sahabat yang dijamin masuk syurga dan baki tentera Badar memujuk Saidina Ali r.a. untuk menjadi Khalifah bagi umat Islam.

Saidina Ali r.a. yang pada mulanya keberatan akhirnya menerima jawatan tersebut setelah diasak oleh permintaan yang bertalu-talu itu. Berlakulah bai’ah. Muhajirin dan Ansar masing-masing diwakili oleh perwakilan mereka untuk memberikan bai’ah.

Isu yang hangat diperkatakan dan menjadi buah mulut umat Islam ketika itu adalah isu qisas terhadap pembunuh-pembunuh Saidina Osman r.a. Tiga orang muslim; Walid bin Uqbah, Said bin al-As dan Marwan bin al-Hakam secara terang-terangan menolak untuk memberikan bai’ah selagi mana Saidina Ali r.a. tidak menjatuhkan hukum qisas ke atas golongan pemberontak. Satu gambaran keadaan berat yang menghantui umat pda masa itu. Manakala yang lain menyerahkan kepada kebijaksanaan Saidina Ali r.a. untuk menyelesaikannya.

Sebelum Peristiwa Unta

Saidina Ali r.a. dibai’ah pada bulan Zulhijjah tahun 35 H. Manakala peristiwa Unta berlaku hanya enam bulan sesudah itu iaitu pada bulan Jamadil Akhir tahun 36 H. Manakala satu lagi peristiwa besar, Siffin berlaku enam bulan selepas peristiwa Unta iaitu pada bulan Muharram tahun 37 H.

Peristiwa Unta adalah peperangan. Kita katakan ia adalah peperangan kerana ada korban nyawa yang bukan sedikit; 10,000 di pihak Saidatina Aisyah r.a. dan 5,000 di pihak Saidina Ali r.a. Tetapi sebahagian penulis dan pengkaji sejarah menamakannya sebagai ‘mauqiah’ yang bermaksud peristiwa dan bukannya ‘harb’ yang bermaksud perang. Ini adalah kecenderungan sebahagian dari penulis sejarah Islam masa kini seperti Dr. Mustafa Hilmi dan Dr. Ibrahim Ali Syaut untuk meletakkan peristiwa tersebut pada kedudukan sebenarnya dan sekaligus menafikan wujudnya niat permusuhan di dalam diri para sahabat r.a. yang membawa kepada perisitiwa tersebut.

Saidina Ali r.a. seorang yang bijak dan mampu membaca kekuatan pemberontak pada masa itu. Menjatuhkan qisas ketika pemberontak berada pada kemuncak kekuatan bukanlah satu yang bijak. Beliau r.a. pernah berkata apabila dicadangkan kepadanya agar dijatuhkan qisas ke atas pembunuh-pembunuh Saidina Osman r.a.: “Wahai saudaraku, aku bukan tidak mengetahui apa yang kamu ketahui itu. Tetapi apa yang aku boleh lakukan kepada satu kaum yang menguasai diri kita dan kita tidak menguasa mereka? Lihatlah hamba-hamba kamu telah berada bersama mereka. Anak bangsa Arab kamu juga telah berdiri teguh di belakang mereka.” Dia r.a. juga berkata: “Tenanglah bersamaku sehingga orang ramai kembali tenang, hati-hati kembali ke tempatnya dan hak-hak dikembalikan.”

Keadaan mesti kembali tenang dahulu dan banyak penjelasan perlu dibuat untuk membuang syubhat yang ada pada pemikiran sebahagian umat Islam pada masa itu dan bai’ah dari negara-negara Islam perlu diambil untuk mengembalikan umat kepada satu pimpinan. Ini sekali gus dapat mematikan penguasaan pemberontak.

Tetapi di masa yang sama Muawiyah r.a. tidak berpandangan begitu. Dia berpendapat bahawa qisas mesti dijatuhkan kerana itulah cara untuk mengembalikan keamanan kepada umat Islam. Kedua-dua pandangan ini diwakili oleh dua sahabat besar dan pimpinan Islam yang besar; Saidina Ali r.a. sebagai Khalifah dan Muawiyah r.a. sebagai Gabenor Syam, Gabenor yang berjaya mengawal penduduk Syam dari terlibat dengan golongan pemberontak. Dengan itu umat Islam berpecah kepada tiga kelompok iaitu kelompok yang bersetuju dengan pandangan Saidina Ali r.a., kelompok yang bersetuju dengan pandangan Muawiyah r.a. dan kelompok berkecuali.

Zubair dan Talhah pada masa itu berusaha untuk menyatukan kembali umat Islam. Apa yang mereka nampak adalah jalan tengah yang akan diredhai oleh kedua-dua kelompok iaitu dengan cara menangkap sebahagian pemberontak yang berada di Basrah. Saidina Ali r.a. sudah tentu akan menjatuhkan hukuman jika sekiranya dapat dibuktikan bahawa pengaruh golongan pemberontak ini sudah lemah. Apabila Saidina Ali r.a. menjatuhkan hukuman qisas, maka Muawiyah akan memberikan bai’ahnya kepada Saidina Ali r.a. Dengan itu umat Islam akan kembali bersatu. Itu adalah ijtihad mereka dan penyebab kepada peristiwa Unta ini. Ini adalah pandangan Dr. Ibrahim Ali Syaut yang kita rasakan amat tepat dengan peribadi kedua-dua sahabat ini dan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam peristiwa Unta.

Mereka memerlukan sokongan orang ramai. Di situlah timbulnya peranan yang dimainkan oleh Saidatina Aisyah r.a. Talhah dan Zubair r.a. mengemukakan pandangan mereka kepada Aisyah r.a. di Mekah. Aisyah r.a. pada ketika itu sedang menunaikan ibadat haji. Aisyah r.a. sebagai salah seorang umahatul mukminin dilihat dapat memainkan peranan mengumpulkan kembali kekuatan umat. Kedudukannya dan sifat peribadinya diharapkan dapat memainkan peranan ini.

Satu tindakan diambil oleh mereka iaitu bergerak ke Basrah dari Mekah untuk misi damai dan perbincangan ini. Sebenarnya cadangan untuk mereka melakukan perbincangan itu adalah juga cadangan sebahagian pemberontak kepada mereka. Tanpa mengetahui niat jahat pemberontak untuk mencetuskan permusuhan di antara mereka dan Khalifah, mereka terus bersama-sama ke Basrah. Pemberontak yang berpura-pura sebagai pengikut mereka pergi lebih jauh dengan menangkap dan memenjarakan Osman bin al-Khafif, Gabenor Basrah pada masa itu. Basrah tunduk di bawah mereka.

Penduduk Basrah dan sebahagian umat Islam yang dari bandar lain bergabung dengan kumpulan Saidatina Aisyah r.a. Ahli sejarah menggambarkan penggabungan itu berjaya dilakukan kerana peribadi Saidatina Aisyah r.a. Beliau r.a. seorang faqih, seorang pemidato dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi. Mampu mempengaruhi manusia dengan kata-katanya. Satu kitab khas yang pernah ditulis oleh al-Zarkasyi menghimpunkan fatwa-fatwa Aisyah r.a. yang kuat tetapi mencanggahi pandangan ulama’-ulama’ sezaman dengannya adalah di antara bukti kemampuannya untuk berijtihad. Bahkan al-Tobari berkata: “Kalaulah Aisyah r.a. tidak ada di dalam kumpulan Talhah dan Zubair, nescaya kedua-dua mereka tidak akan berjaya mengumpulkan orang ramai dan gerakan mereka tidak akan tersusun.”

Pandangan Orientalis dan Syiah Terhadap Talhah dan Zubair r.a.

Orientalis dan golongan Syiah menggambarkan Talhah r.a. dan Zubair r.a. sebagai dua orang sahabat yang mempunyai cita-cita politik yang tinggi. Digambarkan bahawa Talhah r.a. ingin menguasai Yaman dan Zubair r.a. ingin menguasai Iraq.

Ini adalah dakwaan yang tidak berasas. Kita sebagai pengikut ahli sunnah wal jamaah sepatutnya meletakkan sahabat r.a. keseluruhannya pada kedudukan tinggi dan mulia. Itulah wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kita: “Sahabat-sahabatku seumpama bintang-bintang di langit. Sesiapa yang kamu jadikan sebagai ikutan, nescaya kamu akan mendapat petunjuk.”

Punca dakwaan-dakwaan tersebut adalah kerana mereka meletakkan sahabat-sahabat r.a. sama seperti manusia biasa yang lain. Dikaji sebagai tokoh-tokoh dalam sejarah yang mempunyai sifat-sifat kelemahan sebagai manusia sehingga sampai ke peringkat menafikan ketulusan jiwa dan keikhlasan mereka. Mereka diletakkan sama seperti Ghandi, Abraham Lincoln, Karl Marx, Lenin, Stalin dan tokoh-tokoh yang lain; ada pencapaian hebat yang mereka lakukan di samping ada kesilapan yang boleh dikritik tanpa batas. Sedangkan kita dalam mengkaji kisah-kisah sahabat r.a. tidak akan sekali-kali mengaitkan kesilapan ijtihad mereka dengan ketulusan niat dan keikhlasan mereka dalam mencari redha Allah. Paling jauh kita akan mengatakan bahawa mereka berijtihad dan silap dalam ijtihad. Itu sahaja dan tidak lebih dari itu. Mereka mendapat pahala dari ijtihad mereka. Apa yang mereka lakukan hanya kerana ingin menyatukan umat Islam, membersihkan kota Madinah dan masyarakat Islam pada masa itu dari penguasaan pemberontak; niat yang dikongsi bersama dengan semua sahabat r.a. termasuk Saidina Ali r.a. Jadilah seperti apa yang diarahkan oleh Allah kepada kita:

“dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (iaitu Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa Kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatMu.” (Al-Hasyr: 10)

Selain dari prinsip kita di dalam memberikan satu kedudukan yang tinggi kepada sahabat r.a., peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum perisitiwa ini juga menyokong pandangan kita. Talhah r.a. dan Zubair r.a. adalah dua dari 10 sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w. Kedua-duanya adalah di antara sahabat terawal memeluk Islam. Kedua-dua mereka didakwahi oleh Saidina Abu Bakar r.a. 10 sahabat yang dijamin masuk syurga adalah satu kelompok terbaik sesudah para Nabi a.s. Talhah dan Zubair r.a. di antaranya.

Mereka telah bersama Islam untuk satu tempoh yang panjang. Bersama bukan sahaja ketika kegembiraan di peristiwa pembukaan Mekah atau ketika ketika Islam berjaya memerdekakan al-Quds di zaman Saidina Omar r.a.. Juga bukan sahaja ketika empayar Parsi keseluruhannya tumbang setelah pukulan terakhir tentera Islam di bawah pimpinan Saad r.a. Tetapi juga bersama dalam setiap kedukaan; di dalam peperangan Uhud, di dalam peristiwa Hudhaibiah, kisah fitnah Aisyah r.a., peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w., pembunuhan Saidina Omar dan Saidina Osman r.a. dan lain-lain kisah duka. Mereka bersama Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun, bersama Saidina Abu Bakar selama dua tahun, bersama Saidina Omar selama 10 tahun dan bersama Saidina Osman selama 12 tahun. Selama lebih 47 tahun bersama pimpinan-pimpinan Islam di dalam suka dan duka, bersama-sama melakar sejarah dan memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Sepanjang tempoh ini tidak pernah kedengaran berita atau desas desus pembelotan mereka. Bagaimana pula tiba-tiba ketika Islam di dalam keadaan yang paling lemah ini, ketika semua sahabat r.a. menolak untuk menjadi khalifah, mereka dikatakan mempunyai cita-cita politik tersendiri? Ini adalah dakwaan yang tidak berasas.

Oleh kerana itu, methodologi kita lebih tepat di dalam menafsirkan sejarah. Segala-galanya nampak berkait dengan kemas.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang 47 tahun itu, kita nampak satu lagi peristiwa yang melengkapkan tanggapan kita dan menolak tanggapan orientalis dan golongan Syiah adalah peristiwa bai’ah Saidina Ali r.a. Sesudah Saidina Ali r.a. memberikan persetujuan, berlakulah majlis bai’ah sebagaimana yang berlaku pada khalifah-khalifah sebelumnya. Para sahabat r.a. adalah orang-orang yang telus. Siapa yang memberikan bai’ah, dia memberikan bai’ah dalam keadaan sedar dan ikhlas. Sesiapa yang tidak bersetuju, menyatakan ketidaksetujuannya seperti nama-nama yang dituliskan di awal artikel ini.

Orang pertama yang memberikan ba’iah sudah tentulah orang yang penting dan yang paling setia kepada khalifah yang baru ini. Orang pertama ini penting kerana umat Islam akan melihat dan mencontohi mereka. Siapakah orang pertama yang memberikan bai’ah kepada Saidina Ali r.a.? Orientalis dan Syiah tidak suka kita mendedahkan hakikat ini. Orang pertama yang memberikan bai’ah adalah Talhah bin Ubaidillah r.a. Dia naik memberikan bai’ah lalu berkata:

“Kami telah berbincang dan kami redha Ali sebagai khalifah. Wahai umat, berbai’ailah kepadanya. Ada pun tentang pembunuhan Osman, kita katakan bahawa kita serahkan urusannya kepada Allah.”

Orang kedua yang memberikan bai’ah pula adalah Zubair bin Awwam r.a. Dia naik dan mengulangi kata-kata Talhah r.a.

Jadi di manakah kekuatan dakwaan Syiah dan orientalis bahawa mereka mempunyai cita-cita politik?

0 コメント:

コメントを投稿