Pilihanraya dan Mengundi

Bismillah

Soalan:

Kami tinggal di sebuah Negara yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Adakah harus bagi seseorang mengundi dan mencalonkan diri dalam pilihanraya Negara ini?

Jawapan:

Tidak harus bagi seorang Islam untuk mencalonkan dirinya untuk menyertai kerajaan yang berhukum dengan selain apa yang diturunkan Allah (AL Qur'aan dan Sunnah) dan tidak beramal dengan shariat Islam. Maka tidak harus bagi seorang Muslim untuk mengundinya atau mengundi selain daripadanya yang bekerja dalam kerajaan tersebut. Melainkan jika orang yang mencalonkan dirinya dari kalangan orang Islam dan mereka yang mengundi berhasrat untuk menukar hukum kepada beramal dengan shariat Islam melalui cara memasuki pilihanraya, dan mengambil cara itu sebagai satu jalan untuk menguasai sistem pemerintahan. Orang yang telah berjaya memasuki pemerintahan itu pula tidak bekerja di jawatan-jawatan yang bercanggah dengan shariat Islam.

Fatwa Lajnah Daa'imah yang diketuai oleh Shaikh Ibn Baaz 23/406-407.

Soalan:

Sebagaimana yang pihak tuan sedia maklum, kami di Algeria ini mempunyai pilihanraya tashri'iyyah. Sebahagian parti-parti di sini menyeru ke arah berhukum dengan shariat Islam dan sebahagian lain pula tidak mahu kepada hukum Islam. Maka apa hukumnya mengundi golongan
yang tidak mahu menegakkan hukum Islam walaupun dia solat ?

Jawapan:

Wajib bagi orang Islam yang berada di Negara yang tidak berhukum dengan hukum Islam untuk mengerah tenaga dan usaha mereka semampu mungkin untuk berhukum dengan Shariat Islam. Mereka hendaklah berganding bahu dalam membantu parti yang diketahui akan menghukum
dengan Shariat Islam. Adapun membantu orang yang menyeru ke arah tidak melaksanakan shariat Islam adalah tidak boleh malah boleh membawa kepada Kufur berdasarkan kepada firman Allah :

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah
kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.

(Al Maa'idah 49-50)

Oleh kerana itu setelah Allah menerangkan kekufuran orang yang tidak berhukum dengan shariat Islam maka Allah memberi amaran agar tidak membantu mereka dan tidak mengambil mereka sebagai penolong/kawan/pemimpin. Lalu Allah memerintahkan orang-orang beriman
agar bertaqwa jika mereka benar-benar beriman.

Maka Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir musyrik itu: Menjadi penolong-penolong dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.

(Al Maa'idah 57)

Wabillahittawfiiq. Wa Sollallah `ala Nabiyyina Muhammad wa aalihi wa sohbihi wa sallam.

Fatwa Lajnah Daa'imah yang diketuai oleh Shaikh Ibn Baaz 1/373-374

Diterjemah pada 9 Safar 1429 H.

http://www.alifta.com/Search/ResultDetails.aspx?view=result&fatwaNum=&FatwaNumID
=&ID=10720&searchScope=3&SearchScopeLevels1=&SearchScopeLevels2=&highLight=1&Sea
rchType=EXACT&bookID=&LeftVal=17343&RightVal=17344&simple=&SearchCriteria=Allwor
ds&siteSection=1&searchkeyword=2161632171340322171382171302171362171332171362161
67032216168216167217132216170217131216167216170217129#firstKeyWordFound

Minit 2-7

Siri pertemuan terbuka nombor 210 side B

(Silsilah Liqaa' Al Baab Al Maftuuh, Mu'assasah Al Istiqaamah)


Soalan:

Apakah hukum pilihanraya yang wujud di Kuwait memandangkan bahawa kebanyakan golongan Islam dan Da'wah yang menyertainya telah terfitnah agama mereka ? Apa pula hukum pilihanraya kecil kabilah yang wujud di dalamnya wahai sheikh ?

Jawapan:

Saya menganggap bahawa pilihanraya ini wajib. Kita wajib untuk melantik orang yang kita nampak sebagai memiliki kebaikan kerana apabila orang-orang baik lengah dalam perkara ini maka siapakah yang akan mengambil tempat mereka ? Orang-orang jahat atau manusia lalang
yang tidak memiliki kebaikan mahupun keburukan, yang mengikuti setiap yang bersuara lantang.

Kita wajib untuk memilih orang yang kita lihat sebagai Soleh. Apabila seseorang berkata bahawa kami telah memilih seorang tetapi majoriti ahli majlis (parlimen/dewan rakyat/dewan negara) adalah daripada aliran lain maka kita menjawab: Tidak mengapa. Seorang ini jika Allah
menjadikan dalam dirinya keberkatan dan dia melontarkan kalimah-kalimah yang benar dalam majlis ini nescaya ia akan memberi kesan yang pasti.

Namun kita kurang dari segi keihlasan kepada Allah. Kita terlalu bergantung kepada perkara-perkara material dan tidak melihat kepada kalimah Allah `Azza wa Jalla. Lihatlah apa yang Allah firmankan kepada Musa `Alaihissalam ketika Fir'aun meminta kepadanya pertemuan untuk
mendatangkan seluruh ahli sihir. Musa menjanjikan kepadanya pertemuan pada waktu dhuha, hari perayaan. Pada waktu tengah hari di tempat yang rata dan bukan pada waktu malam. Berkumpullah manusia yang ramai lalu Musa `Alaihissolaatuwassalam berkata kepada mereka:

"Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Dia akan membinasakan kamu dengan azab seksa dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa."
(Taha: 61)

Inilah satu pernyataan yang bagaikan ledakan bom!

Allah berfirman:

"Maka merekapun berbantah-bantahan tentang urusan mereka di antara mereka."
(Tahaa: 62)

Huruf fa' dalam perkataan Fatanaaza'uu memberi erti urutan, akibat dan sebab.

Apabila manusia berbantah-bantahan maka itu adalah kegagalan sebagaimana Firman Allah `Azza wa Jalla:

"Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu
menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu." (Al Anfaal : 46)

"Maka merekapun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai
perkara sihir mereka dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan." (Tahaa: 62)

Hasilnya ialah para ahli sihir yang datang untuk menentang Musa kemudiannya menyertai beliau. Mereka tersungkur sujud kepada Allah lalu mendeklarasikan di depan Fir'aun:

"Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa." (Tahaa: 70)

Kalimah haqq daripada seorang individu telah memberi kesan kepada begitu ramai orang yang dipimpin seorang pemerintah yang sangat kejam.

Oleh itu saya berkata: Walaupun ditentukan bahawa tidak ada di dalam Parlimen melainkan bilangan kecil di kalangan ahli kebenaran nescaya mereka akan memberi manfaat. Tetapi mereka hendaklah ikhlas kepada Allah `Azza wa Jalla. Adapun kata-kata bahawa Parlimen itu tidak harus (dimasuki) dan tidak boleh menyertai serta duduk dengan orang-orang Faasiq, maka adakah kita ada mengatakan bahawa kita menyertai Parlimen untuk menyetujui mereka? Kita duduk bersama mereka untuk menerangkan kebenaran buat mereka.

Sebahagian rakan di kalangan `Ulama' menganggap bahawa haram menyertai plilihanraya kerana ia menjadikan seorang yang beristiqamah duduk dengan seorang yang terpesong. (Jadi kita ingin bertanya) Adakah lelaki istiqamah ini memasuki pilihanraya untuk memesongkan dirinya atau untuk meluruskan apa yang bengkok ? Jawab ! Adakah seorang lelaki yang istiqamah yang duduk di sebelah seorang yang terpesong dalam pilihanraya untuk memesongkan orang ? Ya, dia menyertai pilihanraya untuk membetulkan dan meluruskan yang bengkok lagi tersasar.Jika dia tidak berjaya kali ini dia akan berjaya lain kali.

Yang bertanya : Pilihanraya kecil kabilah wahai sheikh ?

Jawapan:
Semuanya sama. Lantiklah orang yang kamu anggap sebagai baik dan bertawakkallah kepada Allah.

+ Silsilah Liqaa' Al Baab Al Maftuuh merupakan siri majlis dengan
Shaikh Muhammad ibn Saaleh Al `Uthaymeen yang berlangsung di rumah
beliau pada setiap hari Khamis dari tahun 1412 sehingga tahun
kewafatan beliau pada 1421 Hijrah.

Diterjemah pada 4/11/1428 H bersamaan 14/11/2007

Diterjemahkan oleh Doktor Imran di dalam


http://groups.yahoo.com/group/alfikrah


0 コメント:

コメントを投稿