Cincin I

Bismillah

Cincin yang cantik bila dipakai pada tangan yang cantik maka bertambahlah kecantikkannya. Tapi, cincin yang cantik bila dipakai pada tangan yang buruk, maka hilanglah atau kuranglah seri kecantikkannya.

Sama juga keadaannya bila perempuan yang cantik akhlak dan budi pekertinya dikahwinkan pada lelaki yang teruk akhlaknya, maka lama-kelamaan hilanglah kecantikkan akhlak dan budi pekertinya tadi. Asbab itu perlulah teliti ketika mencari pasangan untuk berkahwin.

.......................
Sekian saja hal mencari pasangan walaupun ia tiada kaitan dengan entri pada kali ini. woha!
.......................

Hal sebenar yang ingin disentuh ialah tentang pemakaian cincin.

Adakah ianya pemakaian sunnah ?
Jika ya, cincin jenis apa yang dipakai oleh Nabi SAW ?
Jari mana ? Tangan mana ?

Ok, persoalan ini akan terjawab dengan melihat hadis-hadis yang tertera di bawah ;

Hadis Pertama :

Anas ibn Malik r.a. berkata bahawa cincin Rasulullah SAW dibuat daripada perak dan batu permatanya dari Habasyah (Abyssinia).

(Sahih Bukhari; Sahih Muslim, Bab Pakaian; Sunan Abu Daud, Bab Khatam, Hadith 4216; Sunan Tirmidhi, Bab Pakaian; Sunan Nasai, Bab Pakaian; Sunan Ibn Majah, Bab Pakaian.)

Menurut kebanyakan para ulama memakai cincin dari perak adalah dibenarkan. Mazhab Hanafi mengatakan tidak boleh memakai cincin dari gangsa, besi, keluli dan sebagainya.

Pada peringkat awal, Rasulullah SAW tidak memiliki cincin sehingga diberitahu bahawa Kisra Parsi serta lain-lain tidak terima atau melayani surat-surat yang tidak ada cap mohor. Baginda mahu mengutus surat kepada raja-raja menyeru mereka kepada Islam maka sebuah cap mohor dibuat pada tahun 6 atau 7 Hijrah.

Ulama telah memberi pelbagai pandangan berhubung dengan memakai cincin. Sesetengah berpendapat adalah makruh memakai cincin kecuali raja dan hakim. Dari kajian ulama Hanafi dalam hal ini menurut 'Shaami' adalah sunnah memakai cincin bagi raja, hakim, pemegang amanah dan mereka yang dituntut tera mohor. Selain mereka, orang lain dibenarkan tetapi adalah lebih baik tidak memakainya. Sebabnya jelas bahawa Rasulullah SAW hanya membuat sebentuk cincin setelah diminta sebelum mengutus warkah kepada raja-raja. Abu Daud dan lain-lain menyatakan dilarang memakai cincin selain raja-raja.

Oleh kerana terbukti ramai kalangan sahabat r.a. memakai cincin dan disaksi oleh Rasulullah SAW dan sebuah hadith ada menyebut Baginda tidak melarangnya maka larangan tersebut di atas perlu pertimbangan yang mana lebih baik dan utama.

Hadith Kedua :

Ali ibn Abi Talib r.a. berkata, "Rasulullah SAW memakai cincin di tangan kanannya."
(Sunan Abu Daud, Bab Khatam (cincin), hadith 4226 dan Sunan Nasai)

Pelbagai riwayat dipetik berhubung dengan pemakaian cincin oleh Rasulullah SAW sama ada di tangan kanan atau tangan kirinya. Segolongan Muhaddithin berpendapat Baginda memakainya di tangan kanan. Imam Bukhari, Imam Tirmidhi serta muhaddithin lainnya juga berpendirian serupa. Sebilangan kecil ulama merumuskan bahawa Baginda memakai pada tangan kanan dan kadangkala pada tangan kirinya juga. Ulama berbeda pendapat tangan manakah yang terbaik apabila memakai cincin.

Hadith Ketiga :

Hammad ibn Salamah r.a. berkata, " Daku lihat Abdur Rahman ibn Abi Rafi r.a. memakai cincin di tangan kanannya. Aku bertanya sebabnya, beliau menjawab, 'Saya lihat Abdullah ibn Ja'far r.a. memakai cincin di tangan kanan dan beliau berkata dia telah melihat Rasulullah s.a.w. memakai cincin di tangan kanan Baginda.' "

(Sunan Tirmidhi, Bab Pakaian Hadith 1744; Sunan Ibn Majah, Bab Pakaian Hadith 3647; Sunan Nasai, Bab Perhiasan)

Hadith Keempat :

Diriwayat dari Abdullah ibn Ja'far r.a. dari sumber yang lain bahawa Rasulullah s.a.w. memakai cincin di tangan kanan.

(Sunan Tirmidhi, Sunan Ibn Majah, Sunan Nasai)

Di dalam hadith dinyatakan untuk cantik dan menarik adalah lebih sesuai pada tangan kanan. Justeru, Ibn Hajar rah., seorang imam dalam Ilmu Hadith berkata, "Setelah mengkaji hadith itu saya dapati bahawa untuk dilihat cantik dan menarik, pakai pada tangan kanan dan untuk menera cap atau tanda, pakai pada tangan kiri kerana mudah ditanggal setelah digunakan." Tercatit di dalam hadith bahawa Baginda telah memakai cincin pada kedua belah tangannya (kiri atau kanan).

bersambung...

0 コメント:

コメントを投稿