Hafizah Dapat 13A1

Bismillah

Hafizah di sini adalah merujuk pada orang (perempuan) yang menghafaz al-Quran, dan bukan orang yang bernama Hafizah semata-mata. Hari ini ramai orang bernama hafizah tapi tidak ramai bahkan sedikit yang bergelar atau berstatus hafizah. Ini juga merujuk pada hafiz. Maka bagi kita yang ada fikir agama perlulah ada usaha untuk lahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah dikalangan kita. Jika kita tidak mampu, pastikan anak-anak atau cucu-cucu kita yang menjadi hafiz/hafizah, insyaAllah.

Ketika darjah 6, aku pernah membuat azam untuk menjadi seorang hafiz, dan merancang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah tahfiz yang tersohor di Kelantan, iaitu, Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Namun, oleh sebab persekitaranku yang agak tidak membantu dan kurangnya semangat dalam diri, akhirnya aku meng'cancel'kan azam aku itu. Kalau mahu diberitahu sebab apa aku katakan kurangnya semangat, ia adalah kerana pada masa itu aku khuatir aku tidak dapat bangun awal pagi tiap-tiap hari untuk hafaz al-Quran, haha. Al-maklumlah ketika itu bangun pagi ke sekolah pun mak yang selalu kejutkan.

Sambung balik cerita hafizah. Adik ini adalah junior Mudzakkir, sahabat yang aku pernah sebutkan dalam entri Cuti Yang Bermakna (lanjutan I) , dan merupakan pelajar Maahad Al Manar yakni sebuah sekolah hafiz persendirian beroperasi di Kampung Bukit Akar, Selising. Sekolah ini kali pertama aku dengar bila berjumpa Mudzakkir pada program Golden Week Gathering di Masjid Asakusa tahun lepas. Tidak sangka dan syukur alhamdulillah Allah ada hantarkan juga seorang hafiz ke Jepun ini. Maka, bolehlah aku gunakan (baca:manfaatkan) dia sehabis-habisan, huahaha. Ilmu yang tidak digunakan, makin lama makin hilang, jadi nak tak nak kena guna atau sampaikan pada orang lain.

Wallahua'lam.

Berita tentang hafizah ini aku copy/paste kan di bawah.

Pelajar hafal 30 juzuk dapat 13A1

Zuharman MN
Tue | Mar 17, 09 | 3:48:37 pm MYT

PASIR PUTEH, 17 Mac (Hrkh) - Seorang lagi pelajar sekolah agama membuat kejutan apabila mendapat 13A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Dan lebih membanggakan lagi apabila pelajar tersebut merupakan seorang hafizah yang berjaya menghafal 30 juzuk al Quran.

Nusaibah Sallehuddin merupakan pelajar Maahad Al Manar sebuah sekolah hafiz persendirian beroperasi di Kampung Bukit Akar, Selising dekat sini.

Sekolah agama tersebut juga mencatat kelulusan 100 peratus. Dan lebih membanggakan lagi apabila sebahagian besar pelajarnya yang menduduki SPM tahun lepas berjaya menghafal 30 juzuk.

Pengetuanya, Ustaz Yaakob Wan Harun berkata, biar pun sekolah itu kedudukannya agak terpencil namun pencapaian dalam akademik tetap cemerlang.

"Keseluruhan pelajar mendapat markah tinggi dalam mata pelajaran Agama, Arab dan akademik," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya kejayaan tersebut mencapai matlamat sekolah terbabit untuk melahirkan pelajar cemerlang yang mempunyai asas agama.

Kata beliau sejak pertama kali mengambil peperiksaan SPM empat tahun lepas pencapaiannya kekal 100 peratus.

Sementara itu, Nusaibah berkata, komitmen guru merupakan penyumbang utama kepada kejayaannya.

"Saya amat bersyukur, kejayaan ini sekurang-kurangnya menepati matlamat untuk menjana generasi intelektual Islam," katanya.

Beliau berasal dari Melor mula menuntut di Maahad Al Manar pada 2003 telah berjaya menghafal 30 juz al-Quran.

Maahad terbabit kini mempunyai seramai 150 pelajar termasuk dari luar negara antaranya Filipina, Indonesia, China dan Kemboja.

Yaakob berkata, ramai bekas pelajar maahad itu kini menuntut di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. - mj _

2 コメント:

cucutokjanggut さんのコメント...

tersedak sebentar

ainohikari さんのコメント...

@ cucu tokjanggut,
偶然に名前がいっしょだね ^^

コメントを投稿